ASTANA: Sekurang-kurangnya 14 orang maut dalam kebakaran hutan besar-besaran berlaku di timur laut Kazakhstan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ia merupakan angka kematian tertinggi direkodkan di negara Asia Tengah itu dalam tempoh beberapa tahun.
Lapor Al Jazeera, Kementerian Situasi Kecemasan Kazakhstan mengesahkan kira-kira 316 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran berjaya dipindahkan dari kediaman mereka.
Jelas kementerian, situasi masih terkawal dan kawasan kediaman di lokasi itu selamat di sebalik suhu yang tinggi dan perubahan arah angin yang menyukarkan operasi pemindahan itu.
“Secara keseluruhan, 14 mayat ditemukan setakat ini,” jelas kementerian dalam kenyataan.
Sebelum ini, kementerian mengumumkan sedang menjalankan gerakan mencari renjer hutan yang terperangkap dalam kebakaran hutan menjejaskan kawasan seluas 60,000 hektar.
Semalam, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev memecat Menteri Situasi Kecemasan, Yury Ilyin.
Dilaporkan, lebih 1,000 anggota kebanyakannya dari kementerian pertahanan dan situasi kecemasan terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.
-Utusan Online


