AMERIKA SYARIKAT : Bilionair Elon Musk mengumumkan Linda Yaccarino sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Twitter, lebih tempoh enam bulan selepas pengambilalihan beliau ke atas syarikat platform media sosial itu, lapor portal berita BBC.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Musk berkata, Yaccarino yang juga bekas ketua bahagian pengiklanan di konglomerat media terkemuka Amerika Syarikat (AS), NBCUniversal itu akan menyelia operasi perniagaan di laman platform itu yang sedang bergelut untuk menjana keuntungan.
Katanya, Yaccarino akan memulakan tugasnya dalam tempoh enam minggu, manakala beliau pula akan memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi.
“Tidak sabar untuk bekerjasama dengan Linda bagi mengubah platform ini menjadi X, aplikasi segala-galanya,” tulis Musk dalam hantarannya di Twitter, mengesahkan keputusan itu sehari selepas dia mencetuskan spekulasi dengan menulis bahawa sudah menemui bos baharu Twitter tanpa mendedahkan identiti personaliti itu.
Musk yang membeli Twitter tahun lalu pada harga AS$44 bilion berdepan dengan tekanan untuk mencari seseorang yang lain untuk memimpin syarikat itu bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada perniagaan yang lain termasuk pengeluaran kereta elektrik Tesla serta syarikat kapal angkasa, SpaceX.
Yaccarino adalah graduan dari Universiti Pennsylvania yang pernah berkhidmat di Turner Entertainment selama 15 tahun sebelum menyertai NBCUniversal.
Bersama NBCUniversal, beliau mengawasi kira-kira 2,000 orang dan terbabit dalam pelancaran perkhidmatan penyiaran dalam talian organisasi media itu.
Yaccarino digambarkan sebagai individu yang bekerjasama rapat dengan jenama-jenama besar untuk mencari peluang menempatkan dan meyakinkan jenama itu untuk mengiklankan produk mereka di program televisyen, termasuk bersama program popular Sex and the City ketika pertama kali dilancarkan.
-Berita Harian