KUCHING : Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Maumud, yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membangunkan negara dengan lebih cemerlang dan terbilang.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Abdul Taib berkata, beliau bersyukur kerana politik negara kini berada dalam keadaan stabil apabila Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menyelesaikan kemelut politik Malaysia.
Menurutnya, sokongan kerajaan Sarawak juga mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat yang kini menikmati kemakmuran.
“Saya yakin hubungan erat kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan akan terus membawa banyak kebaikan kepada rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Yang turut hadir, isteri beliau Toh Puan Ragad Kurdi Taib serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.
Abdul Taib berkata, dengan kestabilan yang dinikmati kini, beliau mengharapkan Kerajaan Perpaduan segera menyelesaikan tuntutan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan terus melaksanakan pembangunan di Sarawak untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, membangun infrastruktur asas, menjaga kebajikan Sarawak dan meningkatkan tahap keselamatan khususnya kawasan sempadan,” katanya.
Abdul Taib turut memuji kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari yang berjaya memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID-19.
“Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bernilai RM6.7 bilion banyak membantu rakyat yang terkesan.
“Saya yakin melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak akan menjadi ekonomi maju menjelang 2030 berikutan banyak inisiatif pembangunan strategik seperti ekonomi digital berjaya melonjakkan ekonomi Sarawak,” katanya.
-Berita Harian