Penampang : Tiga maut selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan, di sini malam tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kemalangan 11.30 malam itu menyebabkan pemandu MPV Naza Kia dan pemandu Perodua Myvi meninggal dunia. Turut maut, seorang daripada dua penumpang Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Naza Kia yang dipercayai memandu melawan arus.
“MPV itu kemudian bertembung dengan Perodua Myvi menyebabkan kedua-duanya rosak teruk di bahagian hadapan.
“Tiga mangsa semuanya lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dalam Perodua Myvi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Haris berkata, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-Harian Metro


