KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan rayuan akhirnya akan diketahui 31 Mac ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sekiranya panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli membenarkan permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu, maka merit semakannya akan didengar.
Turut bersidang bersama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Tarikh tersebut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul dan salah seorang peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Prosiding berlangsung selama enam hari bermula 19 Januari lalu.
Najib memohon kebenaran menyemak dan membatalkan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos 2022 agar rayuannya didengar semula.
Ini adalah usaha terakhir Najib, 69, melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan sabitan yang diputuskan terhadapnya, tahun lalu.
Menurut afidavitnya, Najib itu memohon rayuan akhir berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim atau kuorum yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.
Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.
Najib juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.
Selain itu, Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).
Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan beliau memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.
UtusanOnline-