KUALA LUMPUR : Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan Mahasiswa Demokratik Malaysia, penganjur tidak menggunakan saluran rasmi memohon mengadakan program di Kampus Shah Alam, sehingga terpaksa menyekat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghadiri program dijadualkan semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor, berkata sepatutnya aktiviti pihak luar perlu mendapat kelulusan daripada Naib Canselor, tetapi itu tidak berlaku.
Katanya, pihak persatuan memohon kepada pihak lain, namun UiTM sudah meminta untuk persatuan itu menghantar surat baharu, tetapi mereka menggunakan surat lama semula.
“Dua hari sebelum program bermula, saya ada telefon pihak persatuan, namun tidak dapat dihubungi. Jadi, saya tidak boleh meluluskan perkara berkenaan kerana tidak membuat permohonan dengan betul.
“Mengenai kedatangan Syed Saddiq, saya tiada masalah kerana tahu kedudukan beliau bersama kerajaan. Sebelum ini juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pun pernah datang di kampus.
“Cuma kita mahukan sebarang permohonan dilakukan secara rasmi kerana UiTM boleh menyediakan lokasi yang sesuai dan masa yang tepat.
“Jadi saya berpandangan tuan rumah perlu dihormati, bukan sebaliknya. Di universiti, kita mendidik. Jadi, saya tidak mahu ada pandangan lain, sekiranya perkara seperti ini dilepaskan begitu saja,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Semalam, Syed Saddiq yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), mempersoal tindakan UiTM tidak membenarkan beliau menghadiri sesi dialog #JelajahMansuhAUKU yang dijadualkan berlangsung di universiti itu malam tadi.
Katanya, beliau juga keliru berkenaan dialog berkaitan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kerana hal itu tidak ada kena mengena dengan UiTM.
“UiTM menggunakan akta lain iaitu Akta UiTM 174 dan 173. Jadi kalau nak masuhkan AUKU, boleh mulakan contohnya di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia atau di mana-mana universiti lain, selain UiTM,” katanya.
Sementara itu, Syed Saddiq dalam ciapan di laman Twitternya menegaskan, tindakannya untuk masuk ke dalam UiTM bukanlah untuk membuat huru-hara, sebaliknya dijemput untuk berdialog bersama mahasiswa mengenai isu yang dekat dengan mereka.
Katanya, pihak UiTM mengatakan bahawa mereka ingin menjaga keharmonian dan mengutamakan aktiviti kerohanian, justeru beliau menghormati keputusan berkenaan.
“Namun selepas berbincang semalam, satu keputusan dicapai iaitu pihak UiTM bersetuju untuk memberikan komitmen bahawa dialog ini boleh diteruskan, tetapi selepas Ramadan dan juga dihadiri oleh barisan panel lain.
“Jadi saya sokong dan setuju. Tetapi saya nak tekankan bahawa isu mahasiswa ini sentiasa berjalan.
“Kita perlu menegakkan hak mahasiswa dan mereka ini memerlukan sokongan kita. Suara mahasiswa suara keramat,” tulisnya dalam ciapan di Twitternya, hari ini.
-Berita Harian


