Ampang Jaya : Gara-gara tidak membenarkan bapanya menonton televisyen, seorang lelaki bertindak membaling alat kawalan televisyen ke arah bapanya sehingga menyebabkan lelaki warga emas itu cedera.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kejadian itu berlaku di rumah dua beranak berkenaan di Taman Bukit Teratai, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku berikutan selisih faham antara mangsa berusia 74 tahun dengan anak lelakinya, 41, jam 7.30 pagi semalam.
“Punca kejadian disebabkan suspek tidak membenarkan pengadu menonton televisyen kerana tidak suka tindakan bapanya yang suka menguatkan audio televisyen.
“Suspek kemudian membaling alat kawalan jauh televisyen ke arah mangsa yang terkena pada bahagian kepala pengadu sehingga dia mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, pengadu ada mendapat rawatan di Hospital Ampang berikutan kecederaan tisu dialaminya pada dahi susulan kejadian itu.
“Berdasarkan laporan diterima, kami menahan anak lelaki mangsa yang tidak bekerja di lokasi kejadian jam 2.20 petang, semalam.
“Kami turut merampas satu alat kawalan jauh televisyen yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.
“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian awal saringan air kencing dilakukan didapati negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata atau lain-lain benda merbahaya,” katanya.
-Harian Metro