Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju menyenaraikan polymyxins sebagai bahan terlarang dalam semua produk ubat veterinar bagi semua spesies sasaran, kecuali produk ubat yang mengandungi Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu – dicapai dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-381 pada 2 Feb lepas – merupakan langkah mengurangkan risiko kerintangan antimikrobial (AMR) terhadap polymyxins.
“Polymyxin khususnya Polymyxin E (Colistin) mempunyai potensi untuk disalah guna dalam makanan haiwan sebagai agen growth promoter.
“Penggunaan Polymyxin E (Colistin) secara berleluasa boleh menyumbang kepada kerintangan antimikrobial (antimicrobial aesistance atau AMR),” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Sehubungan itu, kata Noor Hisham, mesyuarat PBKD turut bersetuju agar pembatalan pendaftaran produk ubat veterinar berdaftar yang mengandungi Polymyxin E (Colistin) berkuat kuasa serta-merta.
Dia berkata pengilangan, pengimportan dan pembekalan produk juga tidak dibenarkan serta-merta, manakala pemegang pendaftaran produk dibenarkan untuk menghabiskan stok sedia ada dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat pembatalan produk.
“Mesyuarat PBKD juga bersetuju dengan keputusan untuk tidak mempertimbangkan permohonan pendaftaran semula bagi produk ubat veterinar yang mengandungi polymyxins (kecuali Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal) berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Polymyxins (seperti Polymyxin E (Colistin) dan Polymyxin B) dikategorikan sebagai antimikrob yang sangat penting oleh Pertubuhan Kesihatan DUnia (WHO) berdasarkan Annex 1 Penerbitan WHO Critically Important Antimicrobials for Human Medicine.
“Polymyxins turut dikategorikan sebagai keutamaan tertinggi berdasarkan Table 2: Prioritization of antimicrobials categorized as ‘critically important’ in human medicine kerana telah menepati kesemua faktor keutamaan,” kata Dr Noor Hisham.
-Malaysia Kini