KUALA TERENGGANU : Pakatan Harapan (PH) sudah memulakan perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) mengenai kerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata perbincangan itu bagaimanapun berlangsung secara tidak rasmi dengan antara yang disentuh termasuk soal agihan kerusi dan penggunaan logo dalam PRN.
Beliau bagaimanapun berkata, perbincangan secara rasmi mengenai soal kerjasama itu antara semua pimpinan parti dalam PH termasuk membabitkan pimpinan BN dan UMNO belum lagi diadakan.
Mengulas lanjut, katanya, perbincangan tidak rasmi itu berlaku melalui majlis suai kenal antara Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad, bersama pimpinan UMNO di peringkat negeri.
“Perbincangan mengenai bentuk kerjasama termasuk pengagihan kerusi dengan pimpinan BN dan UMNO di peringkat Pusat belum berlaku.
“Namun kita difahamkan perbincangan tidak rasmi atau sesi suai kenal dengan kepemimpinan parti itu di peringkat negeri sudah diadakan,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen PRN PKR di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Nik Nazmi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim.
Dalam pada itu, Rafizi mengakui soal agihan kerusi untuk menempuhi PRN di enam negeri tidak boleh dibuat secara membuta tuli, khususnya di Kedah, Terengganu dan Kelantan yang kini ditadbir PAS.
Justeru, beliau berkata rundingan pengagihan kerusi yang dipersetujui pimpinan PH dan rakan kerjasama pilihan raya termasuk UMNO dan BN di peringkat Pusat nanti akan dilakukan secara berprinsip.
“Kita akan berunding di peringkat Pusat dan keputusan hasil rundingan itu akan dijadikan panduan untuk menghadapi PRN di peringkat negeri,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi, berkata walaupun rundingan pengagihan kerusi secara rasmi sebagai persiapan menghadapi PRN belum diadakan, PKR sudah pun melakukan persediaan lebih awal.
“Kita bukan sahaja akan mengadakan rundingan mengenai pengagihan kerusi, sebaliknya penggunaan logo dan lambang juga akan dibincangkan secara bersama dengan pimpinan parti dalam PH termasuk UMNO dan BN,” katanya.
-Berita Harian