Kuala Lumpur : FELCRA Berhad akan mula mengeluarkan ayam daging, beras dan minyak masak mulai tahun ini melalui Pelan Transformasi 3.0 agensi itu, bagi membantu kerajaan memastikan kestabilan dan keterjaminan bekalan makanan asas rakyat di negara ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Melalui inisiatif berkenaan, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu menjangka mampu mengeluarkan enam juta ayam daging setahun untuk pasaran domestik sepenuhnya.
Ia juga dalam perancangan mengeluarkan sendiri produk beras dan minyak masak kepada pengguna dalam tempoh sama bagi menstabilkan bekalan dan harga di pasaran, selain mengembangkan projek fidlot lembunya yang kini sedang dibangunkan di Johor, Perak dan Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria, berkata semua inisiatif itu yang sudah dan akan dijayakan bertujuan membantu kerajaan mencapai keterjaminan makanan dalam tempoh empat tahun seperti diarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dalam usaha melaksanakan Pelan Transformasi 3.0, kita sudah pun memulakan inisiatif keterjaminan makanan, bermula dengan penternakan ayam daging sejak Disember lalu di Rompin, Pahang.
“Melalui usaha itu, kita jangka dapat menghasilkan sebanyak enam juta ekor ayam daging setahun yang mana ia boleh sekurang-kurangnya membantu mengurangkan bebanan kewangan rakyat terhadap bekalan ayam.
“Kita akan menjadi penggerak dalam usaha kerajaan memastikan keterjaminan makanan, khususnya dalam menjamin bekalannya. Kita yakin agenda keterjaminan makanan ini akan berjaya,” katanya kepada BH.
Sejak beberapa bulan lalu, negara berdepan masalah bekalan dan harga ayam daging sehingga memaksa kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif seperti mengimport makanan itu dan memulakan tanaman jagung bijirin.
Jagung bijiran ditanam bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber jagung bijirin dari luar negara untuk dijadikan dedak makanan ternakan itu yang harganya makin meningkat dan menjadi satu daripada punca kenaikan harga ayam.
60 juta ayam pedaging sebulan
Berdasarkan maklumat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tahun lalu, negara memerlukan lebih 60 juta ayam pedaging setiap sebulan atau sekurang-sekurangnya dua juta ekor sehari untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Malaysia antara negara pengguna daging ayam tertinggi di dunia dengan penggunaan perkapita tahunan 46.8 kilogram (kg) dan dijangka mencapai 50kg menjelang 2025.
Transformasi 3.0 diarahkan dilaksanakan oleh Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bagi membantu kerajaan dalam mencapai keterjaminan makanan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Mat Roni memaklumkan, projek ternakan ayam daging dijayakan FELCRA Berhad di Rompin, Pahang dan kini dalam proses pembinaan infrastruktur, membabitkan kawasan seluas kira-kira 20 hektar.
Beliau berkata, penghasilan pertama dijangka pada suku ketiga tahun ini membabitkan 500,000 ekor di mana bekalan anak ayam secara keseluruhannya diperoleh melalui pembekal tempatan.
“Kita yakin boleh menghasilkan enam juta ekor ayam setahun menjelang pada 2024, berdasarkan mandat diberikan kerajaan sebelum ini,” katanya.
FELCRA turut merancang untuk meluaskan industri penternakan ayam daging di tiga lokasi lain, iaitu Padang Terap di Kedah, Kuala Lipis di Pahang dan Machang di Kelantan.
Untuk tujuan itu, agensi berkenaan mengharapkan suntikan dana kerajaan sebanyak RM42 juta dengan pulangan pelaburan (ROI) dijangka mampu dicapai dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.
“Untuk projek di Rompin, kita mendapat dana RM60 juta bagi melaksanakan projek ternakan ayam melalui sistem reban tertutup. Kita jangka Februari ini ladang itu sudah boleh mengeluarkan hasilnya dengan setiap tahun ada enam pusingan.
“Projek di Rompin juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada 300 anak tempatan,” katanya menambah, FELCRA akan turut mengembangkan penghasilan produk santan sawit kepada 60 tan sebulan berbanding 30 tan sedia ada.
Mengenai pengeluaran beras, Mat Roni berkata, sawah diusahakan FELCRA mampu mengeluarkan sehingga 40,000 tan padi setahun untuk diproses menjadi beras dalam bungkusan lima kg, melalui inisiatif yang akan dilancarkan bulan depan.
Beliau berkata, sebanyak 3.6 juta bungkusan beras lima kg disasar dapat dihasilkan setahun di mana 500,000 komuniti FELCRA akan mendapat manfaat subsidi sebanyak 15 peratus daripada harga jualan runcit.
Ketika ini, FELCRA mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 3,263 hektar di FELCRA Seberang Perak di Perak membabitkan 1,500 peserta.
Bagi ternakan lembu pula, FELCRA kini menternak 4,000 ekor melalui sistem fidlot di Johor, Perak dan Sabah dengan ladangnya di Perak turut dilengkapi pusat penyembelihan.
-Berita Harian