Kuala Lumpur : Tarikh perbicaraan bela diri oleh Siti Bainun Ahd Razali atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down dikenali Bella akan bermula 5 Januari depan seperti dijadualkan sebelum ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Peguam bela Siti Bainun, Nurul Hafidzah Hassan berkata, ia kerana setakat ini, pengasas Rumah Bonda itu tidak mempunyai tarikh pembedahan selepas diberi sijil cuti sakit (MC) akibat masalah kesihatan sebelum ini.
“Tarikh prosiding itu terpaksa diteruskan sebab tiada tarikh pembedahan. Pembelaan bersedia untuk prosiding itu, namun tak tahu jika Siti Bainun sihat atau sebaliknya pada masa itu.
“Mengikut undang-undang, Siti Bainun kena hadir dalam prosiding bela diri. Dia yang akan memberi keterangan dahulu,” katanya pada BH, hari ini.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh baharu perbicaraan bela diri terbabit selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).
Sebelum ini, Siti Bainun disahkan diberi MC selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu akibat masalah kesihatan.
Pengasas Rumah Bonda itu dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital.
Pada 24 November lalu, Siti Bainun diarahkan membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri awal bulan ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.
Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-Utusan Online


