Pembayar cukai yang mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB) boleh memilih untuk tidak mengemukakan Borang Nyata (BN).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun terdapat beberapa impiikasi yang perlu diketahui oleh mereka yang berhasrat untuk PCB mereka dianggap sebagai cukai muktamad antaranya.
1) Jika anda telah membuat pilihan untuk tidak mengemukakan BN, namun audit dijalankan mendapati anda mempunyai pendapatan sewa?
Anda perlu mengemukakan BN kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). PCB yang telah disifatkan sebagai cukai muktamad akan diabaikan. Taksiran asal dan penalti di bawah subseksyen 112(3) ACP akan dibangkitkan.
2) Anda mendapati PCB anda lebih berbanding cukai yang dikenakan. Walaupun PCB yang dipotong terlebih, namun anda memilih untuk tidak mengemukakan BN?
PCB anda akan tetap dianggap sebagai cukai muktamad dan tiada bayaran balik akan dibuat kepada anda. Sekiranya audit dibuat ke atas anda, tiada taksiran pindaan akan dibuat ke atas anda jika cukai kena dibayar lebih kecil berbanding PCB.
3) Anda memilih untuk tidak mengemukakan BN kerana telah melaporkan semua pendapatan dan maklumat pelepasan kepada majikan dengan betul?
Tindakan audit dijalankan ke atas majikan sekiranya didapati majikan terkurang membuat potongan ke atas gaji anda, maka majikan akan dikenakan kompaun dan dikehendaki meremitkan PCB yang terkurang lapor kepada LHDNM.
Anda pula dikehendaki mengemukakan BN kepada LHDNM. Penalti boleh dikenakan kepada anda sekiranya lewat mengemukakan BN dalam tempoh yang ditetapkan.
4) Anda mengemukakan Borang TP1 kepada majikan bagi tuntutan pelepasan pembelian komputer supaya PCB anda akan berkurangan, tetapi majikan menolak atas faktor tertentu?
Potongan PCB anda tetap akan berlebihan. Cukai akan menjadi terlebih bayar kerana majikan tidak membuat potongan seperti Borang TP1 disebabkan dokumen sokongan tidak dikemukakan.
Justeru, sebelum anda mahu LHDNM melayan PCB anda sebagai cukai muktamad, sebaiknya anda memahami beberapa implikasi penting ini supaya anda benar-benar membuat keputusan yang tepat.
-Mynewshub