Sepang : Tiga individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes kehilangan remaja perempuan di Taman Salak Maju di sini, Ahad lalu direman dua dan tiga hari.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dua suspek lelaki berusia 21 dan 19 tahun direman tiga hari bermula hari ini, manakala wanita berusia 18 tahun direman dua hari.
“Kes masih dalam siasatan dan polis memohon kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Siasatan dibuat termasuk mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan.
Polis semalam menyelamatkan remaja perempuan berusia 13 tahun yang sebelum ini dilapor hilang, selepas menyerbu seunit kondominium di Seksyen 13, Shah Alam.
Susulan serbuan itu, seorang lagi suspek berusia 21 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Seksyen 13, Shah Alam pada 9.30 malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan remaja dikenali Salsabila Putri Mad Nasir, 13, selepas keluar dari rumah inap desa di Taman Salak Maju, di sini, pada awal pagi 25 Disember lalu.
Laporan kehilangannya dibuat abang remaja itu di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi dengan kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai Orang Hilang.
-Harian Metro


