MUAR : Sejak diperkenalkan menerusi Belanjawan 2022, inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sudah memanfaatkan kira-kira 8.7 juta penerima.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pembayaran BKM yang sudah memasuki fasa keempat akan diagihkan kepada kira-kira 5.2 juta penerima pelbagai kategori bermula 15 November ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
Menerusi pembayaran itu, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing dengan bayaran secara berperingkat itu dijangka selesai Jumaat ini (18 November).
Malah, dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan inisiatif BKM yang lebih komprehensif dan ditambah baik.
Berdasarkan pembentangan itu, pengagihan bantuan dibuat lebih menyeluruh seperti warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing akan menerima BKM sebanyak RM600 dan RM350, bergantung kepada had pendapatan.
Bantuan sebanyak RM3,000 bayaran maksimum turut diberikan kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak, iaitu kenaikan RM500 berbanding RM2,500 tahun ini.
Ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun depan, turut diberikan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM500.
Sudah semestinya inisiatif bantuan di bawah konsep Keluarga Malaysia yang dibawa Ismail Sabri menjadi sandaran dan harapan buat golongan memerlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas negara berdepan ketidaktentuan dan cabaran pasca pandemik COVID-19.
Bagi Mohd Shah Aton, 68, bantuan BKM yang disalurkan kerajaan amat tepat pada masanya ketika rakyat memerlukan wang tunai dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu.
Malah, katanya, jenama Keluarga Malaysia yang diilhamkan Ismail Sabri menggambarkan perpaduan kaum dengan mengutamakan kebajikan rakyat dengan menyediakan bantuan kepada semua kaum.
Peniaga kerepek itu berkata, pendapatan bulanan yang diterimanya hasil penjualan tidak seberapa namun kehidupannya masih dapat diteruskan dengan bantuan yang diterima.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana dengan bantuan yang diberikan, sedikit sebanyak melegakan dan meringan beban terutama untuk membeli barang keperluan asas.
“Kami hanya bergantung harap kepada penjualan kerepek, jika dapat jual banyak, lebihlah rezeki saya hari itu dan jika kurang, kuranglah rezeki saya,” katanya kepada BH.
Pekerja restoran, Akmal Rosli, 26, berkata bantuan wang tunai menerusi BKM wajar dimanfaatkan golongan muda berdepan cabaran ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat.
Katanya, wang tunai diterima wajar dilaburkan seperti Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan kelangsungan pada masa depan.
“Jumlahnya mungkin tidak terlalu besar tetapi kita boleh mempersiapkan diri dengan perancangan kewangan yang baik. Saya berharap jumlah kadar bantuan ini dapat dinaikkan sedikit lagi,” katanya.
Graduan, Mazarina Thaqifah Mazalan, 25, berkata BKM amat membantu mereka yang memerlukan kerana golongan terbabit paling terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Inisiatif kerajaan memberikan BKM ini adalah usaha untuk membangunkan serta mensejahterakan rakyat. Dalam situasi sekarang, rakyat sedikit sebanyak terpaksa berusaha berhabisan untuk mencari pendapatan serta melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup.
“Menerusi bantuan BKM, ia memberi kelegaan kepada rakyat terutama golongan B40. Kaedah pembayaran dan pengkreditan berperingkat juga memberi kesan positif kepada rakyat terutama mereka yang memerlukan,” katanya.
-Berita Harian


