PUTRAJAYA : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Parlimen, petang ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ahli Parlimen Rembau itu yang berhenti sebentar ketika keluar dari pekarangan Bangunan Perdana Putra selepas selesai mesyuarat Kabinet, hari ini, memaklumkan perkara berkenaan apabila ditanya pemberita di lokasi.
“Ya, belanjawan (dibentangkan) petang ini. Ya. Ya,” katanya.
Ditanya sama ada isu pembubaran Parlimen turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kali ini, Khairy hanya menyebut beliau mahu makan bubur.
“Saya hendak makan bubur,” katanya dengan nada berseloroh.
Menteri Kabinet dilihat mula keluar dari Bangunan Perdana Putra kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Kenderaan membawa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ialah antara yang terawal dilihat keluar.
Ketika ini, spekulasi mengenai pembubaran Parlimen terus hangat diperkatakan, malah ada pihak menjangkakan pembentangan Bajet 2023 berkemungkinan tidak akan berjalan mengikut jadualnya pada petang ini.
-Berita Harian


