BINTULU – 17 lelaki termasuk suspek utama yang terlibat rusuhan dan khianat mengakibatkan rempuhan kenderaan di hadapan sebuah premis dicekup semalam di sekitar Jalan Abang Galau, di sini, malam tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, tangkapan tersebut melibatkan dua siri tangkapan sebelum berjaya menangkap kesemua suspek.
“Tangkapan pertama melibatkan suspek utama, Rimong Judan, 37, pemandu trak pikap dalam rusuhan terbabit telah membawa kepada tangkapan 16 individu lagi yang terlibat.
“Suspek yang terlibat didapati tidak berada dibawah pengaruh dadah dan kesemua mereka adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambahnya, reman terhadap suspek bermula hari ini hingga Khamis ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan Dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan, suspek utama kes rusuhan dan khianat diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan yang berlaku di Jalan Abang Galau, kelmarin.
Hal ini berikutan tular beberapa rakaman video tular memaparkan pergaduhan di hadapan sebuah premis yang membabitkan insiden rempuhan melibatkan beberapa kenderaan.
-Kosmo Online


