KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan Barisan Nasional (BN) untuk menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berada di peringkat yang baik.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Menurut beliau, kesediaan jentera akan membantu BN memperoleh kemenangan di PRU15, oleh itu amat penting ia diurus dengan baik.
“Perhimpunan untuk melancarkan gerak gempur pemuda BN menghadapi PRU15 adalah merupakan satu program yang amat besar maknanya. Kesiapsiagaan kita akan memberi nafas kepada ahli-ahli dan jentera di bawah.
“Keberkesanan jentera merupakan keutamaan parti untuk menghadapi PRU15, kita boleh menang jika jentera kita bersedia dan diurus dengan baik kita akan menang dengan selesa pada pilihanraya nanti,” katanya sewaktu menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di stadium Titiwangsa, di sini hari ini.
Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN itu turut menggesa ahli parti untuk memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi BN untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk adakan PRU15.
“Saya sudah berbincang selepas kita balik dari Sabah dan sudah juga merumuskan bagaimana tahap setiap bahagian di seluruh negara.
“Saya yakin rumusan ini akan menjadi panduan kepada parti dan juga Perdana Menteri dan Presiden UMNO berpakat mencari tarikh yang sesuai untuk adakan PRU-15 akan datang.
“Jangan kita gundah gulana, berilah dua tokoh ini untuk memikirkan strategi dan tarikh yang sesuai walaupun ada diantara mereka yang tidak sabar,” katanya.
UtusanOnline-


