Kuala Lumpur : Polis giat mengesan seorang lelaki berusia 20-an yang menghalang sebuah kereta dan meludah kenderaan terbabit di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Lama menghala ke Jalan Dewan Bahasa, di sini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 26 tahun pada 2.30 petang tadi.
Menurutnya, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi dihalang kenderaan lain juga Perodua Myvi ketika di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Lama menghala ke Jalan Dewan Bahasa, di sini.
“Suspek mengekori dan memotong kenderaan mangsa serta memberhentikan kenderaan secara mengejut.
“Suspek yang juga tidak dikenali oleh mangsa turun dari kenderaan sambil memarahi wanita terbabit sebelum meludah pada kenderaan mangsa.
“Polis sudah merakam percakapan wanita terbabit serta sedang berusaha mengesan suspek untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
-Harian Metro


