PUTRAJAYA : Kerajaan diminta memudahkan proses pengambilan pekerja dari India dan Pakistan bagi membantu pekebun kecil sawit dan getah.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pemangku Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Perak, Rostam Mohd Ramli, berkata pekebun kecil tidak mampu untuk mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi mendapatkan tenaga kerja asing jika kos pengambilan pekerja terlalu tinggi.
Beliau berkata, ketika ini, ramai pekebun kecil terpaksa menanggung kerugian berikutan tiada pekerja ekoran penularan wabak COVID-19 sejak 2020 dan keadaan meruncing sejak Disember tahun lalu.
Katanya, kebanyakan pekebun kecil terbabit sudah berusia dan tidak mampu lagi bekerja sendiri di kebun masing-masing apabila semua pekerja asing yang ada sebelum ini pulang ke negara asal.
“Pekebun kecil ini perlu dibantu seperti pesawah yang menerima bantuan kerajaan. Jika kos membawa masuk seseorang pekerja asing mencecah RM7,000 setiap pekerja, sudah pasti ramai pengusaha yang tidak mampu.
“Pekebun juga perlu menyediakan tempat tinggal untuk pekerja ini. Duit mana pula yang hendak digunakan? Akhirnya, pekebun keluarkan simpanan di Tabung Haji,” katanya kepada BH.
Rostam bagaimanapun berkata, timbul kebimbangan untuk menggaji pekerja dari India dan Pakistan berhubung keupayaan mereka untuk bekerja di ladang, selain kekangan bahasa yang menyukarkan untuk memberi arahan atau melatih mereka.
“Ketika ini, Yayasan Perak ada mengambil pekerja dari Pakistan untuk bekerja di ladang sawitnya di Sungkai, dan didapati berjaya.
“Pekerja asing dari Indonesia terutama dari Flores dan Lombok, yang mahir bekerja di ladang dan pekerja dari Bangladesh pula lebih berminat untuk bekerja di kilang,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) di Dewan Rakyat, berkata India dan Pakistan menawarkan untuk menghantar rakyat negara itu sebagai pekerja ladang di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Cawangan PKPKM Trolak Utara, Perak, Masri Salleh, berkata pekerja dari India dan Pakistan perlu diberi latihan sewajarnya sebelum dihantar bekerja di ladang atau kebun kecil.
Beliau berkata, pihaknya bimbang tanpa pengalaman dalam bidang pertanian dan perladangan, pekerja terbabit tidak kekal lama di ladang dan melarikan diri kerana tidak tahan dengan situasi kerja.
“Upah untuk memetik buah sawit adalah antara RM100 hingga RM150 bagi setiap tan dan seorang pekerja boleh menurunkan beberapa tan sehari. Kalau tidak berpengalaman, nak turunkan satu tan buah sawit pun mungkin tidak mampu,” katanya.
Beliau berkata, apabila pekebun dan pengusaha ladang seperti sawit mengalami kerugian, kerajaan juga akan terkena tempiasnya kerana buah sawit tidak boleh dikeluarkan secara maksimum.
-Berita Harian


