KUANTAN : Kerajaan negeri akan memastikan pengiktirafan Tasik Chini sebagai Rezab Biosfera (BR) oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) tidak ditarik balik.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja memulih dan menghijaukan kembali tasik semulajadi itu sedang berjalan dan telah pun hampir 80 peratus.
“Kerajaan negeri sedaya upaya memastikan pengiktirafan UNESCO terhadap Tasik Chini dapat dikekalkan,” katanya ketika menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, pelbagai usaha dilaksanakan antaranya mewartakan Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Chini membabitkan keluasan 6,502 hektar mengikut Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan projek penghijauan Tasik Chini dengan menanam tanaman tutup bumi membabitkan tanah berkeluasan 200 hektar dengan kos RM3.95 juta yang dijalankan bermula 23 Ogos tahun lalu dan telah mencapai hampir 90 peratus.
“Kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang turut bertindak terhadap kawalan hakisan dan mendapan dalam zon penampan Tasik Chini sepanjang 1.75 kilometer dengan kos RM2.5 juta dan telah selesai sepenuhnya pada 22 Jun lalu.
“Kerajaan turut mengadakan usahasama bersama masyarakat Orang Asli di kawasan setempat bagi melaksanakan Projek ‘Buy Back Guarantee’ tapak semaian Tasik Chini yang mana proses penyemaian pokok dilakukan oleh masyarakat terbabit dan sehingga kini sebanyak 3,344 pokok telah dibeli kembali oleh Jabatan Perhutanan Negeri untuk ditanam semula di tasik berkenaan.
“Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan kempen kesedaran membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Tasik Chini yang telah dilaksanakan pada Februari lalu dengan melibatkan 400 peserta dan 25 NGO di mana sebanyak 1,000 anak pokok telah diserahkan kepada penduduk setempat,” jelasnya.
-Utusan Online


