Bayan Lepas : Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama enam sahabat di Pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar di sini, semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Mangsa, S Thanaseelan, 20, dari Padang Tembak, Air Itam di sini, disedari tidak naik ke pantai, jam 2.30 petang.
Rakan mangsa, A Meheshwaran, 24, berkata, mereka adalah kenalan sejak di bangku sekolah yang menetap di sekitar Georgetown dan Seberang Perai.
Katanya, berikutan cuaca hendak hujan, mereka sepakat naik ke pantai sebelum pulang, namun disedari hanya Thanaseelan sahaja yang tiada di situ.
“Kami memanggil namanya namun tidak kelihatan, sebelum mengesyaki dia dihanyutkan ombak kerana kali terakhir dia dilihat sedang mandi beberapa meter dari pantai.
“Kami kemudian menghubungi talian kecemasan dan ibu bapanya bagi memaklumkan mengenai kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Meheshwaran berkata, mangsa yang tidak bekerja itu kelihatan gembira mengikuti perkelahan berkenaan.
“Anak bongsu daripada dua beradik itu seorang yang suka membantu dan paling ceria dalam kalangan rakan,” katanya lagi.
Turut sama di lokasi ialah ibu mangsa, S Vikeneshwary, 42, bersama ahli keluarga namun enggan mengulas lanjut kerana terlalu bimbang dan bersedih dengan kejadian yang menimpa anaknya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Balik Pulau Mohd Ridzuan Nut Jamudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.33 petang semalam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan seramai 11 anggota termasuk dua daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Katanya, operasi itu turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan dibantu nelayan tempatan.
-Harian Metro


