KUALA LUMPUR : Dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi penguatkuasaan Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022 mampu mengurangkan masalah tabiat merokok dalam kalangan generasi muda negara.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery, berkata ia adalah langkah permulaan ke arah negara bebas rokok pada masa akan datang.
Beliau berkata pelaksanaan undang-undang itu sepatutnya diketengahkan lebih awal kepada generasi yang lahir pada 2000, berikutan rokok dan vape sudah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Atas kekangan dan faktor tertentu kita masih belum berjaya melenyapkan rokok dan vape di negara ini, walaupun fatwa sudah dikeluarkan serta pelbagai kemudaratan dipaparkan di akhbar.
“Walaupun tabiat merokok telah lama di negara ini, permasalahan membabitkan pelajar yang merokok dan menghisap vape tidak seteruk hari ini. Jadi dengan GEG, mereka masih ada harapan dan potensi untuk dibentuk kembali dan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022di Dewan Rakyat dan akan dijadual dibentangkan lagi minggu ini bagi menyelesaikan isu ketagihan produk nikotin itu.
Antaranya RUU itu memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti.
Khairul Nizam berpandangan, usahawan serta pemegang taruh yang terbabit secara langsung dalam industri rokok dan vape tidak perlu melatah, kerana dasar itu tidak melarang secara mutlak produk itu dijual.
“Ia memberi sedikit penambahan jika sebelum ini larangan kepada pembeli yang berumur 18 tahun ke bawah, tetapi selepas dasar ini dilaksanakan penambahan larangan pada yang lahir selepas 2007.
“Mereka boleh terus berniaga seperti biasa tetapi terikat dengan tambahan undang-undang ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya yakin akan ada banyak penambahbaikan untuk mencantikkan lagi pelaksanaan GEG ini seperti amalan biasa dilakukan negara ini.
“Paling penting semua pihak menyokong dengan hati yang bersih dan akal yang tenang. Lihatlah pada mata burung bukan terus duduk di bawah tempurung,” katanya.
Katanya, kaedah diutarakan Khairy melalui Kementerian Kesihatan (KKM) itu dilihat akan menjadi seperti satu kaedah didikan seperti perumpamaan Melayu ‘pukul anak sindir menantu’.
“Maka, generasi GEG akan memberi dan meningkatkan lagi kesedaran bahaya rokok dan vape pada keseluruhan hidup kita. Generasi ini akan menjadi penegur golongan dewasa yang merokok,” katanya.
Namun dalam pada itu, beliau berkata, peluang pekerjaan mungkin berkurangan berikutan generasi GEG tidak dibenarkan untuk bekerja di premis yang menyediakan Perkhidmatan Jualan Rokok dan Vape.
“Jika dahulu kita menghadapi masalah sama berkaitan penjualan arak sehingga wujud ruang khas dan juruwang khas untuk jualan arak, mungkin rokok dan vape ini juga akan berpindah di sebelah bahagian minuman beralkohol.
“Ini kerana rokok dan vape hanya dibeli oleh kumpulan khusus iaitu golongan ‘unik’ kerana bilangannya yang semakin mengecil ke arah kepupusan,” katanya.
Katanya, isu lain yang dibangkitkan sesetengah pihak adalah isu kecil dan dasar GEG bermatlamat menyelamatkan generasi akan datang.
“Kami yakin kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk menyelesaikan apa jua masalah,” katanya.
-Berita Harian


