MEKAH : Jumlah jemaah haji tahun ini yang kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya memberi kelebihan kepada mereka menunaikan ibadah dalam keadaan lebih selesa dan tenang, termasuk wukuf di Arafah.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Tahun ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan hanya sejuta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji selepas pelaksanaannya ditangguh susulan pandemik Covid-19.
Pada tahun 2019, sebanyak 2.9 juta jemaah menunaikan ibadah tersebut.
Selain itu, suhu panas mencecah 42 darjah Celsius tidak menghalang para jemaah menunaikan wukuf dalam keadaan tenang dan lancar.
Seramai sejuta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul dan memanjatkan doa sepenuh hati ketika berada di Arafah bagi memohon keampunan dan kesejahteraan bersama.
Para jemaah akan terus berada di Arafah sehingga matahari terbenam sebelum bergerak ke Muzdalifah bagi menunaikan solat Isyak dan seterusnya bersedia melakukan rukun melontar.
Jemaah kemudiannya melakukan perjalanan pulang ke Mina dan melontar di Jamrah al-Aqabah, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Sughra.
Dalam pada itu, haji tahun ini yang disifatkan terbesar sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu berjalan seperti yang dirancang tanpa sebarang masalah besar.
Berikutan suhu panas, pihak berkuasa Arab Saudi terus mengingatkan para jemaah supaya menjaga kesihatan termasuk minum air yang mencukupi bagi berdepan cuaca panas, selain peka dengan keadaan sekiranya terkena strok haba.
Tahap kesihatan para jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini turut dikategorikan sebagai ‘memuaskan’ apabila kebanyakan jemaah dapat melakukan rukun haji dalam keadaan selamat dan lancar.
Dalam sidang akhbar di Mina kelmarin, jurucakap Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Haji dan Umrah memberi jaminan semua jemaah berada dalam keadaan baik tanpa melibatkan sebarang insiden besar.
Jurucakap kementerian kesihatan, Dr. Mohammed al-Abd al-Aly berkata, seramai 25,000 petugas kesihatan berkhidmat sepanjang musim haji berlangsung di Mekah dan Madinah.
Katanya, sebanyak 23 hospital dengan 4,654 boleh digunakan oleh jemaah yang jatuh sakit atau memerlukan bantuan perubatan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,080 katil disediakan untuk pesakit yang memerlukan rawatan rapi dan 238 bagi mereka yang mengalami strok haba susulan cuaca panas ketika ini.
“Jangkitan Covid-19 masih ada, namun kami berjaya mengawal penularannya dalam kalangan jemaah dan boleh dikatakan status kesihatan semua jemaah ketika ini adalah memuaskan,” katanya seperti yang dilaporkan Arab News.
-Utusan Online