Sample Page Title

KUALA LUMPUR : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ikuti Mynewshub: Telegram

Ia adalah kali kedua usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, selepas Hamzah membentangkan buat kali pertama pada 23 Mac lalu, namun ia gagal diluluskan selepas tidak mendapat jumlah undian mencukupi ketika itu.

Dalam pembentangan kali ini, Hamzah mengusulkan ia dilanjutkan lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, bagi membolehkan pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Langkah itu akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

Ketika membentangkan usul itu, Hamzah menegaskan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan, dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Tegasnya, siasatan membabitkan kesalahan keselamatan, khususnya jenayah keganasan dan jenayah terancang, adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan.

Katanya, lanjutan masa itu diperlukan polis bagi mendapatkan keterangan daripada individu ditahan ketika pengumpulan bukti bagi tujuan pendakwaan, termasuk pengesanan rakan subahat yang masih bebas.

“Sepanjang dua kali sesi perbahasan berkaitan SOSMA tahun ini, banyak isu hak individu dibangkitkan.

“SOSMA tetap menyediakan peruntukan yang menghormati hak individu seperti di seksyen 5, yang membenarkan orang ditahan berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya dan peluang jaminan jika memenuhi kriteria seperti dinyatakan dalam seksyen 13 SOSMA 2012


“Selain itu, subseksyen 4(3) jelas menyatakan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya.

“Namun ini tidak bermakna ahli politik kebal daripada siasatan di bawah SOSMA. Jika Ahli Yang Berhormat, termasuk diri saya sendiri atau sesiapa sahaja melakukan kesalahan keselamatan, maka tindakan tetap boleh diambil di bawah SOSMA,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, beliau menjelaskan walaupun SOSMA memperuntukkan 28 hari untuk siasatan, realitinya polis hanya mempunyai tempoh 21 hari.

Katanya, polis perlu menyerahkan Kertas Siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut ketika tujuh hari sebelum tamat tempoh 28 hari berkenaan.

“Tempoh 28 hari ini sangat penting kerana polis memerlukan masa terutamanya bagi meyakinkan saksi untuk memberikan pernyataan kerana ia membabitkan keselamatan saksi dan ahli keluarga,” katanya.

Hamzah turut menegaskan tidak wajar untuk membandingkan SOSMA dengan Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960, kerana banyak perbezaan yang digubal untuk membuktikan SOSMA memberi peluang dan hak yang cukup untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.

“Jika kita ingin berhujah mengenai konsep keadilan, akta ini juga memberikan keadilan buat orang yang ditahan, seperti peluang berjumpa peguam dan kes kesalahan keselamatan ini juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Perlu diingat, keadilan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan keselamatan negara serta rakyat secara keseluruhan adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan,” katanya.

-Berita Harian

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

JDT Kelab Pertama Jalin Kerjasama Dengan Socios.com

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kelab pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama...

Ibu Bimbang, Anak Empat Hari Tidak Pulang Ke Rumah

BACHOK: Seorang ibu di Kampung Tok Kederat di sini, diselebungi kebimbangan apabila anak kelima...

Kertas Siasatan Kes Pukul Anak Tiri Diserah Ke Bukit Aman

IPOH: Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki dipercayai memukul anak tirinya di Parit Buntar...

Polis Tubuh Pasukan Siasatan Khas Berkaitan Kes Cubaan Culik Murid

IPOH: Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik...

Air Pasang Besar: Orang Ramai Dinasihat Elak Ke Pantai Esok Hingga Khamis

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak berada di kawasan pantai berikutan fenomena...

Tawar Ganjaran Lumayan AS$2 Juta Untuk Tahan Rakyat Malaysia Lolos

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan kerja didakwa menjanjikan ganjaran lumayan AS$2 juta (RM9.1 juta) bagi...

Manfaatkan Perkhidmatan Digital HASiL

Malaysia sedang menuju kepada sebuah negara tanpa tunai di mana urusan kewangannya termasuk membeli...