Masih segar dalam ingatan malam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) saya bergegas ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Siapa saya biarlah rahsia, cumanya memang sangat terkejut menerima perkhabaran kerajaan Negeri Sembilan berjaya ditumbangkan pakatan pembangkang PH.
Perkiraan awal saya tentulah Kerajaan Negeri Sembilan tidak terkesan walau apapun impak Tsunami Politik ekoran prestasi pimpinan kerajaan negeri tersangat cemerlang.
Namun benarlah bak kata pujangga – Biar pun 1,000 senjata mudah untuk ditentang berbanding tiupan fitnah bisa merobohkan seluruh isi kotanya.
Sepanjang perjalanan dari bandar Seremban saya melihat dengan mata sendiri beberapa kenderaan di atas jalan raya mengibarkan bendera pembangkang.
Sebahagian mereka yang merupakan anak muda Melayu kelihatan gembira membunyikan hon kenderaan sambil melaungkan Malaysia Baru!… Merdeka!
Ibarat ‘budak baru nak up’ dalam politik sedang syok pekena ‘bau gam’ bercampur hancing langsung tidak menyedari akibat buruk bakal menimpa diri.
Lalu nurani saya pun berbisik… Apa kau dah lakukan hoi Melayu? Tahukah apakah nasib agama, bangsa dan negara kau selepas ini?
Dalam tempoh beberapa minit saya tiba di Kediaman Rasmi MB Negeri Sembilan. Beberapa kenderaan dilihat memasuki pekarangan kediaman itu.
Saya meletakkan kenderaan di sebuah kawasan lapang. Jumlah kenderaan di situ namun ‘tersangat’ kurang berbanding semasa kempen berlangsung.
Lalu terdetik dalam hati mungkin ramai sudah menghilangkan diri selepas tahu Barisan Nasional (BN) tewas. Buat apa tunggu lagi baik angkat kaki.
Saya berjalan kaki mendaki laluan utama untuk memasuki Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan lalu di sapa oleh pengawal keselamatan.
Kelihatan penyokong yang masih setia masih berada di sekitar kediaman walau tidak ramai. Sebilangan sedang berdiri dan ada yang duduk di mana saja boleh.
Selang-seli beberapa buat motosikal membawa kibaran bendera pembangkang melalui jalan di hadapan kediaman berkenaan sambil memulas-mulas “throttle”
Saya fikir elok dilontar batu manusia tidak sedar diri, namun tidak mengapalah inikan negara demokrasi. Dalam 15 minit kemudian seorang lelaki keluar dari kediaman tersebut dan berkata:
“Saya mohon tuan-tuan jangan rakam gambar. Tolong prihatin. Kekalahan kita bukan salah Tok Mat. Tok Mat sudah melakukan “the best” (yang terbaik) untuk Negeri Sembilan”
(Tok Mat adalah panggilan mesra untuk Datuk Seri Mohamad Hasan)
Kemudian baru saya tahu seseorang telah merakam gambar suasana dukacita di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan dan dengan pantas ia menjadi tular.
Sambil menunggu Tok Mat bertemu para penyokong, sempat juga saya terdengar intipati perbualan dua lelaki berhampiran saya mengenai keputusan PRU-14.
Menurut mereka, Tok Mat berpesan kepada semua penyokong BN usah melakukan perkara yang bukan-bukan dan hormati keputusan majoriti rakyat.
Tersentuh hati saya mendengarnya. Betapa berjiwa besar sosok Menteri Besar Negeri Sembilan.
Tidak beberapa lama kemudian saya melihat sekumpulan petugas media bergegas memasuki kediaman tersebut dan saya mengekori dari belakang.
Nah. Terlibat depan saya insan bernama Datuk Seri Mohamad Hasan sedang duduk di atas sofa bersedia untuk di temuramah wartawan.
Terlihat jelas pada wajahnya yang kelihatan sedikit kepenatan mungkin selepas beberapa malam berkempen ke sana sini untuk BN.
Meskipun tampak riak kesedihan dan kekecewaan, namun Tok Mat tetap melemparkan senyuman dan sempat berseloroh kepada petugas media.
Temuramah berkenaan mengambil masa sedikit panjang dan saya sekadar memerhati sambil mendengar apa yang diperkatakan Tok Mat.
Tidak perlu diterangkan satu persatu apa dikatakan kerana akan memaksa kepada sebuah coretan yang terlalu panjang dan penat untuk dibaca.
Cukup sekadar merumuskan temuramah tersebut mempamerkan sebuah sisi kepimpinan Tok Mat yang amat hebat.
Dalam kesedihan disulami selautan semangat. Pada kekecewaan tersemat keazaman membara. Genangan air mata digarap sejuta keyakinan.
Apa yang pasti pada malam itu Tok Mat menekankan bahawa UMNO perlu berubah dan perubahan itu akan memastikan BN kembali bangkit.
Ternyata apa yang Tok Mat katakan itu adalah benar dan beliau melakukan apa yang dikatakan selepas dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO yang baharu.
Sejak Tok Mat memimpin UMNO Pusat dan memangku jawatan Presiden parti, BN mengorak kebangkitan setapak demi setapak tanpa menoleh lagi.
Idea kepimpinannya mengembalikan keyakinan majoriti rakyat kepada BN sehingga memenangi begitu banyak Pilihan Raya Kecil (PRK).
Pendekatannya mengeratkan hubungan antara UMNO dan PAS yang telah terpisah lama mencetuskan sebuah gelombang penyatuan ummah.
Sebilangan pihak kberpendirian cukup sekadar penyatuan orang Melayu Islam bagi menentang kemungkaran PH, namun Tok Mat berfikiran sebaliknya.
Bagi Tok Mat kebangkitan rakyat perlu bersifat komprehensif kerana Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang memerlukan dokongan semuanya.
Justeru, Tok Mat mula menginspirasikan sebuah penyatuan yang lebih menyeluruh merangkumi setiap segmen masyarakat Malaysia.
Maka terhasillah sebuah gerakan rakyat yang amat digeruni PH ketika itu iaitu Muafakat Nasional (MN).
Ucapan-ucapan Tok Mat di seluruh negara kemudiannya membangkitkan kesedaran rakyat berbilang kaum untuk bersama MN.
Bersama dalam sebuah misi untuk memperbaiki kesilapan yang telah berlaku pada 9 Mei 2018.
Sehinggakan calon BN daripada MCA menang besar di Tanjung Piai mengalahkan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Walaupun selepas MN lesu akibat percaturan licik musuh dalam selimut, inspirasi Tok Mat telah meninggalkan kesan yang tidak terpadam.
Penyatuan rakyat Malaysia untuk mengembalikan negara di landasan yang benar pada PRU-15 tidak lagi mampu disekat dan hanya menunggu masa.
Itulah Tok Mat. Merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak. Diam bukan mengalah, melawan bukan melatah. Tok Mat pencetus inspirasi rakyat Malaysia.
-Mynewshub