Kuala Lumpur : Kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai kembali meningkat sejak Januari lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Keadaan ini berlaku selepas pembukaan semula ekonomi menyebabkan permintaan rokok seludup kembali meningkat.
Pengarah Urusan Japan Tobacco International Bhd (JTI Malaysia), Khoo Bee Leng berkata, penyeludup kini menggunakan pelbagai taktik untuk membawa masuk rokok tidak bercukai khususnya menggunakan jalan laut.
Katanya, tindakan itu menyebabkan kerajaan gagal mengutip cukai jutaan setiap bulan bagi cukai eksais rokok.
“Bagi tempoh pandemik 2021, kadar penyeludupan rokok tidak bercukai menurun kepada 57.3 peratus berbanding 63.8 peratus pada 2020.
“Namun selepas ekonomi dibuka dan aktiviti harian kembali normal, trend peningkatan berlaku sehingga Mei lalu,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerugian ditanggung kerajaan boleh mencecah RM5 bilion setiap tahun daripada cukai eksais yang sepatutnya diterima daripada industri tembakau.
Beliau berkata, penyeludup kini menggunakan kapal untuk menyeludup rokok di perairan antarabangsa sebelum diagihkan kepada kapal kecil untuk dibawa masuk ke Malaysia.
“Malah ada kapal yang mematikan Sistem Identifikasi Automatik (AIS) di tengah lautan supaya kedudukan dan pergerakan mereka ‘hilang’ seketika ketika proses pemindahan berlaku.
“Pihak berkuasa perlu lebih proaktif dan hanya membenarkan kapal yang dilengkapi AIS belayar dalam perairan Malaysia supaya pergerakan mereka boleh dipantau,” katanya.
Beliau berkata, kehilangan hasil berbilion ringgit sudah pasti memberi impak kepada pelbagai pelan pembangunan infrastruktur yang mahu dilaksanakan kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai akta mengharamkan rokok, rokok elektronik dan alat merokok kepada generasi yang lahir selepas 2007, Khoo berkata, penguatkuasaan yang lebih jitu diperlukan agar ia tidak membuka ruang kepada peningkatan penyeludupan rokok tidak bercukai.
“Akta ini perlu diteliti kerana ia boleh membuka ruang lebih besar kepada aktiviti penyeludupan rokok jika penguatkuasaan yang lemah,” katanya.
-Harian Metro


