KUALA LUMPUR : Kerajaan akan menyusun semula peruntukan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Susulan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon, berkata Kementerian Kewangan (MOF) akan memuktamad dan mengeluarkan Waran Sekatan bagi memaklumkan jumlah peruntukan yang akan dikurangkan.
Beliau berkata, menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia – Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan MOF, ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik antarabangsa serta kenaikan mendadak harga komoditi global dan makanan mengakibatkan tekanan inflasi tinggi.
Justeru, katanya, kerajaan mengambil langkah untuk melaksanakan subsidi barangan keperluan dan kawalan harga bagi mengurangkan impak inflasi.
Langkah itu menyebabkan perbelanjaan bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.
“Kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun Persekutuan dan syarikat jaminan kerajaan (CLBG) perlu menyusun semula program serta aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan dengan memastikan tidak membuat ‘trade-off’ ke atas program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan dan agensi hanya dibenarkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dengan syarat tidak membabitkan tambahan bilangan jawatan dan implikasi kewangan.
“Keutamaan penyusunan semula organisasi perlu fokus kepada mengurangkan pertindihan fungsi sama ada di dalam atau di luar organisasi.
“Penubuhan badan berkanun, CLBG, entiti baharu lain tidak dibenarkan,” katanya.
Asri berkata, setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu berusaha untuk melaksanakan penjimatan perbelanjaan utiliti seperti telekomunikasi, elektrik dan air serta memastikan barang pakai habis digunakan dengan optimum bagi mengelak pembaziran.
Beliau berkata, laporan perbelanjaan utiliti dan barang pakai habis juga perlu dipantau dan dilaporkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) kementerian.
-Berita Harian