BENGALURU: Bank Dunia tidak merancang menawarkan pembiayaan baharu kepada Sri Lanka sehingga negara Lautan Hindi itu mempunyai rangka kerja dasar makroekonomi yang mencukupi, kata pemberi pinjaman itu, semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bank Dunia dalam kenyataan berkata, Sri Lanka perlu menerima pakai reformasi struktur yang menumpukan kepada penstabilan ekonomi dan menangani punca krisisnya, menyebabkannya kekurangan pertukaran asing dan makanan, bahan api serta ubat-ubatan.
“Kumpulan Bank Dunia amat mengambil berat mengenai keadaan ekonomi yang teruk dan kesannya terhadap rakyat Sri Lanka,” katanya.
Katanya, pihaknya menggunakan semula sumber di bawah pinjaman sedia ada bagi membantu meringankan masalah kekurangan barangan keperluan seperti ubat, gas memasak, baja, makanan untuk kanak-kanak dan wang tunai untuk isi rumah yang terjejas.
Bank itu juga berkata, sedang bekerja rapat untuk mewujudkan kawalan dan pengawasan fidusiari bagi memastikan pengagihan adil.
Bekas Presiden, Gotabaya Rajapaksa Jun lalu berkata, Bank Dunia akan menyusun semula 17 projek sedia ada dan lebih banyak bantuan akan menyusul selepas rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pinjaman kewangan.
Sri Lanka berada dalam keadaan darurat sejak 13 Julai lalu, selepas protes yang memaksa Rajapaksa melarikan diri ke Maldives, diikuti Singapura.
Beliau digantikan Ranil Wickremesinghe, yang juga bekas Perdana Menteri.
BHonline-