KOTA BHARU : Sebanyak 1,000 buah sekolah di seluruh negara akan dipilih untuk menerima kemudahan rangkaian 5G menjelang akhir tahun ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, walau bagaimanapun pihaknya masih menunggu persetujuan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan perancangan berkenaan.
“Setakat ini, kita sudah memilih enam sekolah sebagai percubaan bagi menguji sama ada rangkaian 5G sesuai atau tidak dilaksanakan di sekolah.
“Selebihnya, kita akan menunggu lampu hijau daripada pihak Kementerian Pendidikan memandangkan ini adalah bidang kuasa mereka dan mungkin ada perkara-perkara yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barangan di Pasar Ketereh, di sini semalam.
Annuar memberitahu, setakat ini, pihaknya sudah mendapat persetujuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Digital Nasional Bhd. (DNB) untuk melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di sekolah termasuk di luar bandar dan pendalaman.
Katanya, bagi menjayakan rancangan itu, kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) amat diperlukan untuk membuat penyambungan gentian optik.
“Kita juga akan pastikan bukan sahaja dalam kawasan sekolah, malah penempatan di sekitar sekolah juga mendapat manfaat sama menerusi pelaksanaan rangkaian 5G ini,” jelasnya.
-Utusan Online


