PUTRAJAYA : Kerajaan bakal menggunakan kaedah pemberian subsidi secara bersasar bagi menggantikan sistem bantuan pukal sedia ada dan dilakukan berperingkat.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia melibatkan barangan atau produk tertentu yang menyasarkan pengguna daripada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, kaedah baharu itu dibuat selepas kerajaan memutuskan untuk menghentikan penetapan harga maksimum dan terus membantu pengguna yang tidak berkemampuan.
“Inisiatif ini adalah satu kerjasama dengan Kementerian Kewangan yang dijangka dilaksanakan \penghujung bulan ini bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah berdepan kenaikan harga barangan keperluan.
“Ada beberapa langkah yang difikirkan sesuai untuk sistem pemberian subsidi bersasar ini bagi menggantikan sistem subsidi pukal sedia ada dan ia akan dilakukan secara berperingkat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Portal My Safe dan Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), di sini hari ini.
Menurut Alexander, keutamaan kerajaan kini adalah memberi subsidi mengikut keperluan memandangkan ekonomi negara tidak mampu bertahan sekiranya subsidi berterusan diberikan secara pukal seperti sekarang.
“Mungkin ada golongan berkemampuan yang tidak memerlukan subsidi tetapi turut menikmatinya jika subsidi diberi secara pukal. Ia tidak bermakna kita tidak mahu mereka menikmati subsidi, namun kos subsidi menjadi lebih besar.
“Mereka tidak memerlukannya jika dibandingkan dengan rakyat yang berpendapatan rendah jadi kita fokus kepada golongan yang berpendapatan rendah ini,” ujar beliau.
Alexander berkata, ketika ini proses dan kaedah mekanisme pemberian subsidi bersasar tersebut masih berjalan memandangkan ada beberapa pendekatan yang perlu diambil kira dan ia akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Alexander menyampaikan watikah pelantikan kepada 12 individu daripada 16 orang ahli MPPN yang diketuai oleh aktivis pengguna, Mohd. Azmi Abd. Hamid.
MPPN ditubuhkan pada 2000 yang dianggotai oleh wakil daripada persatuan pengguna, industri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan bagi membincang serta menimbangkan isu-isu kepenggunaan terutamanya perkara-perkara yang termaktub di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
-Utusan Online