KUALA LUMPUR: “Jika peluang kedua dijadikan alasan untuk pesalah pembunuhan kejam, bagaimana dengan mangsa? Apakah mangsa memiliki peluang kedua?
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ahli perniagaan, Datuk Richard Morais, 56, membangkitkan persoalan itu susulan kematian adiknya yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, yang mayatnya ditemui disimen dalam tong dram selepas dibunuh kejam, tujuh tahun lalu.
Richard berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori dan saranan supaya banduan yang menunggu ke tali gantung diringankan hukuman, umpama membangkitkan kembali trauma terhadap ahli keluarga mangsa pembunuhan.
Malah, beliau kesal dan terkejut dengan desakan supaya hukuman diringankan buat pesalah terbabit, termasuk daripada Majlis Peguam Malaysia.
“Pesalah bagi kes pembunuhan tidak selayaknya mendapat peluang kedua atas kekejaman dilakukan.
“Mereka tiada pengalaman ahli keluarga dibunuh. Bayangkan jika mereka ada abang atau ibu bapa dibunuh kejam seperti yang berlaku terhadap abang saya.
“Jika pembunuhan kejam seperti abang saya yang mayatnya hancur disimen, peluang kedua apa yang nak diberikan? Mangsa sudah mati tidak ada peluang kedua.
“Abang saya mati katak (dibunuh) sedangkan mendiang mempunyai masa depan cerah dalam kerjaya dan ketika kejadian, beliau berkhidmat untuk negara,” katanya di sini, hari ini.
Kevin dibunuh kejam ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, pada 4 September 2015.
Susulan kejadian itu, enam lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh mangsa.
Pesalah membabitkan pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 57, selaku tertuduh pertama; pemberi pinjaman wang, S Ravichandran, 49, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27, M Vishwanath, 30, dan S Nimalan, 27.
Richard turut menyatakan kebimbangan pemansuhan itu akan menyebabkan lebih banyak insiden jenayah berat termasuk pembunuhan dilakukan di negara ini.
“Penjenayah tidak akan takut lagi melakukan kesalahan berat kerana tahu boleh terselamat daripada ke tali gantung,” katanya.
BHonline-

