KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, akan menghadiri Harvard Ministerial Leadership Programme di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS), selama empat hari bermula Ahad ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata Khairy menerima undangan daripada Universiti Harvard untuk menghadiri program itu yang dianjurkan bersama oleh Harvard T H Chan School of Public Health, Harvard Graduate School of Education dan Harvard Kennedy School.
“Harvard Ministerial Leadership Programme dianjurkan secara jemputan khas, dan Khairy adalah salah seorang daripada 12 menteri yang dipilih dari pelbagai negara untuk menyertai program bertaraf global ini.
“Kesemua 12 menteri yang dipilih ini terbabit dalam portfolio kesihatan, pendidikan serta pembangunan insan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, program berkenaan memberi penekanan kepada aspek kepimpinan, selain memfokus perkongsian interaktif dan praktikal peserta menerusi perbincangan kajian kes serta pengalaman masing-masing dalam pembangunan insan serta kemajuan ekonomi.
Katanya, jemputan khas untuk Menteri Kesihatan menyertai program tahunan itu adalah satu pengiktirafan kepada negara, khususnya KKM.
“Ia juga menjadi antara platform terbaik untuk mempelajari dan menganalisis pengalaman negara lain yang boleh dijadikan rujukan, di samping peluang bagi Malaysia berkongsi kejayaan serta pengalaman dalam menguruskan pandemik COVID-19,” katanya.
BHonline-