KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dimaklumkan bahawa RM10,000 hingga RM15,000 dibayar oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Consortium Zenith) kepada orang tengah di dua syarikat bagi mendapatkan invois ‘dummy’ atau tiruan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith, Azli Adam, yang juga saksi pendakwaan ke-23 perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkata, sebahagian pembayaran rasuah kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah sumber wang ditunaikan menggunakan invois dan baucar bayaran atas nama Sinar Bina Consultancy Services (SBCS) serta Bintang Ria Engineering (BRE) berdasarkan modus operandi pemalsuan dokumen itu.
Katanya, bayaran rasuah itu dimaklumkan oleh Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli selepas Pengarah Consortium Zenith itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 dan kedua-dua syarikat itu tiada kaitan atau tiada apa-apa kontrak bersama Consortium Zenith.
“Segala bayaran ke atas pembelian invois dibuat kepada orang tengah itu oleh saya. Saya tidak tahu dua syarikat ini dimiliki oleh siapa. Apa yang saya mahu hanya invois itu sahaja.
“Seingat saya, bayaran bagi mendapatkan invois itu bagi satu kali sahaja. Saya membuat bayaran secara tunai kepada orang tengah itu,” katanya.
Bagi invois yang diperoleh daripada syarikat JKM Konsortium Sdn Bhd (JKM Konsortium), katanya setahu beliau syarikat itu ketika itu dimiliki dua pengarah JKM Konsortium, Datuk Dr Lee dan Datuk Dr Shukri yang juga konsultan kepada Consortium Zenith.
“Saya juga dimaklumkan oleh Zarul bahawa beliau ada kawalan terhadap syarikat itu. Bagi urusan mendapatkan invois daripada syarikat JKM Konsortium ini, ia diuruskan Zarul sendiri.
“Saya hanya menerima invois disediakan dan diserahkan kepada saya oleh Zarul di pejabat Consortium Zenith di Plaza Damas 3, pada masa itu,” katanya ketika membaca penyataan bertulis di hadapan Hakim Azura Alwi.
Jumaat lalu, Zarul Ahmad berkata, beliau menggunakan orang tengah untuk menyerahkan RM2 juta yang diberi nama ‘coklat’ kepada Guan Eng, kerana bimbang memegang wang tunai dalam jumlah banyak.
Zarul yang juga saksi pendakwaan ke-23 dilaporkan berkata, sumbangan itu sebahagian daripada wang permintaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, iaitu 10 peratus keuntungan projek syarikat dianggarkan RM30 juta.
Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut, di negeri itu.
Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang di Tingkat 21 Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di KOMTAR.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah, bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens di Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011 antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.
Mengenai cek RM2 juta, Azli berkata, cek itu disediakan wanita dikenali Norain pada 17 Ogos 2017, sebelum diserahkan kepadanya dan dibawa kepada pengarah syarikat untuk ditandatangani oleh Wong Kwai Wah dan Ibrahim Sahari.
“Pada 18 Ogos 2017, saya pergi ke Public Bank Berhad Cawangan Mont Kiara, atas arahan Zarul dengan membawa dua beg galas hitam untuk tujuan mengisi wang yang akan saya tunaikan.
“Setelah saya tunaikan cek itu, setiap beg dimuatkan sejumlah RM1 juta membabitkan wang kertas RM100. Saya menyerahkan beg itu secara tunai kepada Zarul di pejabat beliau di Taman Desa, di sini, pada hari sama.
“Saya tidak mengetahui tujuan wang RM2 juta ditunaikan. Setelah selesai penyerahan kepada Zarul, saya tidak mengetahui apa Zarul buat dengan duit itu dan saya sahkan tidak dimaklumkan apa-apa berkenaan hal selepas penyerahan dibuat,” katanya.
Perbicaraan bersambung esok.
-Berita Harian