Kuala Lumpur : Seramai 80 asnaf menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi meringankan beban serta sempena sambutan Aidilfitri hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ia sebahagian daripada lebih RM1 juta yang diperuntukkan untuk membantu golongan memerlukan khususnya B40 dan pelajar miskin.
Pengarah Kanan, Ketua Divisyen Sumber dana, Sosioekonomi dan Amal Jariah Mohd Hafiz Fauzi berkata, sumbangan terbabit adalah daripada potongan gaji kakitangan kerajaan selama ini.
“Kita nak maklumkan bahawa kita sudah sampaikan amanah mereka. Ia demi membantu anak-anak tahfiz daripada Madrasatul Faridhiyah serta saudara baru daripada Pertubuhan Mualaf India Malaysia (Mira).
“Kita akan teruskan pengagihan amanah ini untuk membantu seramai mungkin yang memerlukan dan ia sebahagian daripada peranan YaPEIM untuk membantu masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.
Hadir sama Pengasas Madrasatul Faridhiyah Datuk Jawahar Ali Taib Khan.
Sementara itu, Jawahar Ali berkata, pihaknya berterima kasih dengan sumbangan berkenaan yang akan menceriakan penerima.
Menurutnya, biarpun hari raya sudah berlalu, bantuan itu amat bermakna terutama ketika sambutan Aidilfitri baru saja berakhir.
“Ia memberikan keceriaan berganda. Selain itu kita juga menggalakkan penerima untuk menabung dan belajar menyimpan menerusi sumbangan yang diberikan.
“Daripada wang yang diterima, kita galakkan mereka menabung sedikit demi sedikit. Ia baik untuk masa depan mereka,” katanya.
-Harian Metro