KUALA LUMPUR : Pelaksanaan subsidi secara bersasar bahan api adalah lebih munasabah kerana berupaya melindungi golongan rentan yang paling terdedah dengan kejutan kenaikan harga.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Penyelidik Taylor’s Business School, Prof Hafezali Iqbal Hussain, berkata bagi melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat, mekanisme yang telus perlu diperkenalkan bagi mendapatkan kepercayaan rakyat.
Katanya, ia juga perlu digandingkan dengan kempen dan pendidikan awam dengan memberi penekanan terhadap ketidakcekapan serta penyelewengan yang wujud daripada subsidi pukal yang sering dinikmati oleh golongan kaya.
“Dalam kes Malaysia, rasional untuk mengurangkan mekanisme penetapan harga bahan api datangnya menerusi peningkatan tahap pendapatan serta keperluan untuk mengimbangi perbelanjaan fiskal.
“Oleh itu, selaras dengan perkembangan ekonomi, sebaiknya ada pengurangan subsidi secara beransur-ansur untuk membolehkan dasar fiskal yang lebih sihat dan terurus serta menggalakkan amalan lestari alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Justeru, ada keperluan untuk menyemak semula subsidi secara keseluruhan sambil memastikan bahawa mekanisme yang berbeza disediakan untuk melindungi mereka dengan tujuan untuk menyokong senario semasa,” katanya.
Hafezali Iqbal berkata, subsidi pukal semasa yang merentas peringkat pendapatan adalah satu bentuk subsidi tidak langsung yang perlu ditukar menjadi subsidi langsung dari semasa ke semasa.
“Rasional untuk peralihan beransur-ansur adalah berdasarkan keperluan untuk mengimbangi pertumbuhan diperlukan demi memastikan ekonomi kekal di landasan pemulihan selepas wabak,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan pemberian subsidi bersasar juga perlu disesuaikan tetapi berterusan dalam jangka masa panjang dengan membabitkan pemantauan dan semakan berterusan apabila keadaan asas berubah.
“Untuk tempoh jangka panjang, pengurangan subsidi menyeluruh secara berperingkat akan mendorong perubahan struktur dalam ekonomi, menyebabkan peningkatan produktiviti dan peningkatan kecekapan,” katanya.
Beliau menjelaskan, mekanisme kawalan harga sering menghalang pelaburan swasta serta penggunaan sumber yang terhad dengan cekap, sekali gus ia memerlukan perubahan.
“Di samping itu, peralihan kepada subsidi bersasar juga akan memberi insentif kepada pengguna dan firma untuk beralih daripada amalan semasa yang sangat bergantung pada bahan api fosil ke arah pilihan yang lebih mesra alam yang akan membawa kepada pengurangan pelepasan asap dan bertindak sebagai pemboleh untuk mencapai sasaran pelepasan,” katanya.
-Berita Harian