KUALA LUMPUR: Pemandu treler membawa muatan dokumen keselamatan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) maut manakala polis pengiring cedera dalam kemalangan di Jalan Duta di sini, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian jam 10.20 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 47 tahun meninggal dunia di lokasi.
“Siasatan awal mendapati treler dari arah pusat bandar menghala Plaza Tol Jalan Duta dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tembok batu lalu terbalik.
“Dalam kejadian sama, seorang anggota polis yang mengiring lori treler berkenaan turut tercedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota yang cedera itu retak bahu kanan serta pergelangan kaki kiri dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan mayat pemandu treler turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
Katanya, kerja pengalihan kontena treler dijalankan di lokasi sebelum selesai pada jam 4 petang tadi dan laluan dibuka sepenuhnya kepada kenderaan.
Sarifudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BHonline-

