BAITULMAQDIS : Pejuang Hamas didakwa melepaskan roket ke arah wilayah Israel, insiden pertama seumpama itu dalam tempoh beberapa bulan dan petanda gelombang keganasan di sekitar tapak suci Baitulmaqdis akan meningkat lagi.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
“Siren dibunyikan di kawasan sekitar Semenanjung Gaza,” kata tentera Israel, merujuk kepada kawasan Palestin yang dikawal oleh kumpulan pejuang Hamas.
“Sebuah roket ditembak dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel. Roket itu dipintas oleh pertahanan peluru berpandu Israel, Iron Dome,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Tiada laporan mengenai kematian dan tiada juga pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam kejadian serangan itu.
Israel menganggap Hamas bertanggungjawab ke atas semua serangan roket itu dan biasanya melakukan serangan udara sebagai tindak balas.
Insiden itu yang pertama seumpamanya sejak Januari lalu, berlaku selepas keganasan Israel-Palestin pada hujung minggu di dalam dan sekitar pekarangan Masjid Al-Aqsa yang mencederakan lebih 170 orang dengan kebanyakannya penunjuk perasaan Palestin.
Sumber diplomatik berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sesi hari ini untuk membincangkan berhubung peningkatan keganasan.
Keganasan serupa di Baitulmaqdis pada masa sama tahun lalu mencetuskan serangan roket Hamas berulang kali ke Israel yang memuncak menjadi perang 11 hari.
Peningkatan ketegangan berlaku pada dua bulan suci iaitu Ramadan dan perayaan Paskah Yahudi.
-Berita Harian

