IPOH : Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan pihak yang mencetuskan isu mengenai penjualan tanah di Seri Iskandar yang didakwa tapak cadangan pembinaan lapangan terbang baharu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Katanya, jika tanah itu dicadangkan untuk pembangunan lapangan terbang, adakah cadangan berkenaan dalam pengetahuan atau sudah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Beliau juga bertanya sama ada sudah dilakukan kajian penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) untuk memastikan tanah yang dimaksudkan itu, benar-benar sesuai dijadikan lokasi lapangan terbang.
“Orang kata itulah tanah untuk lapangan terbang. Kalau itu tanah untuk lapangan terbang, apakah ia telah diluluskan oleh pihak kerajaan Persekutuan dan EPU? Adakah kajian impak dan kajian alam sekitar telah dilakukan untuk kita pasti benar-benar di situ kita nak jadikan lapangan terbang?” katanya.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Kembara Sahur Peja Bersama Funride Riders di Lepak Santai Steamboat & Grill Tambun, di sini malam tadi.
Setakat Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil 13 individu memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.
Isu penjualan tanah berkenaan timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, 29 Mac lalu, mendakwa tanah yang dicadangkan sebagai tapak lapangan terbang di Seri Iskandar sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudian memaklumkan, penjualan tanah itu kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun turut mempersoalkan bekas EXCO ketika pentadbirannya yang mendakwa tidak tahu apa yang berlaku kepada tanah dikatakan tapak cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Seri Iskandar itu.
“Semua jangan lupa, sewaktu saya jadi Menteri Besar, EXCO saya yang kononnya tidak tahu menahu tentang ada tapak lapangan terbang lain, tak dibincangkan tanah nak dijual dan sebagainya, dia sendiri yang (sebelum itu) umum untuk membesarkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
“Hendak besarkan LTSAS dan dalam masa yang sama, tidak tahu apa yang terjadi kepada (tanah) yang kononnya nak diadakan (dibina) lapangan terbang di Seri Iskandar. Jadi, kamu semua fikir sendirilah, saya tak berapa minat nak komen tentang perkara ini,” katanya.
Sambil meminta semua pihak memeriksa isu terbabit dengan lebih jelas, beliau menegaskan, tidak mahu mengulas lebih panjang berhubung dakwaan berkenaan kerana siasatan sedang dijalankan.
“Saya dengar masih dalam siasatan SPRM, jadi saya mohon SPRM siasat sedalam-dalamnya dan dedahkanlah kepada orang ramai,” katanya turut menyatakan kesediaan memberi kerjasama membantu siasatan.
“Tentunya saya wajib bagi kerjasama. Sebagai seorang rakyat, sesiapa juga kalau perlu membantu siasatan, perlu beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-12 pada 12 Mei 2018 selepas beliau selaku Pengerusi PH negeri ketika itu memimpin pakatan berkenaan memenangi 29 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang menang 27 kerusi dan PAS, tiga kerusi.
Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 5 Disember 2020 selepas hilang majoriti sokongan ADUN dan digantikan oleh Saarani sebelum dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 27 Ogos 2021.
-Berita Harian