LUMUT : Kerajaan akan meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) dan perkara itu turut diluluskan oleh Kabinet.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat Kabinet semalam setelah mengambil kira dua faktor utama.
Menurutnya, pertama, LCS sememangnya aset yang amat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seiring perancangan pemodenan TLDM serta untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada negara serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.
“Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90 peratus daripadanya berhubung kait dengan veteran.
“Berikutan itu, Kabinet akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tadbir urus khas yang bakal dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, di sini semalam.
Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan memantau tadbir urus projek berkenaan dalam tempoh enam bulan.
“Kita akan laporkan perkembangan dan kemajuan projek ini dalam masa enam bulan kepada Kabinet setiap bulan.
“Walaupun keputusan untuk meneruskan projek itu telah dibuat, itu tidak bermakna pihak yang terlibat salah laku penyalahgunaan kuasa dalam perjalanan projek itu sebelum ini tidak dikenakan tindakan.
“Mereka tetap akan disiasat dan akan dihadapkan ke muka pengadilan. Sekiranya ada penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan sebagainya, itu akan disiasat oleh agensi-agensi yang berkenaan khususnya SPRM,” katanya.
Hishammuddin berkata, beliau gembira kerana Kabinet bersetuju untuk meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Menurutnya, usaha menyelesaikan isu perolehan LCS itu merupakan satu perjalanan yang panjang dan mencabar.
“Sesi PAC mengenai LCS telah diadakan sebanyak 10 kali dan saya sendiri dipanggil menghadap PAC selain telah menjawab soalan tentang LCS di Dewan Rakyat sebanyak 10 kali.
“Dengan keputusan ini, tiada lagi persoalan sama ada perolehan LCS akan diteruskan ataupun tidak.
“Kini, semua pihak yang berkepentingan boleh bergerak ke hadapan dan fokus untuk menjayakannya,” katanya.
Kelmarin, Kabinet bersetuju untuk meneruskan projek perolehan LCS yang sebelum ini berdepan kelewatan berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.
Keputusan kerajaan itu setelah mengambil kira dua faktor utama, pertama, LCS sememangnya aset yang amat diperlukan TLDM, seiring perancangan pemodenan TLDM serta untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada negara serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.
Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90 peratus daripadanya berhubung kait dengan veteran.
Warga TLDM teruja berbuka puasa bersama menteri
Sementara itu, warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) teruja dapat berbuka puasa bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pangkalan TLDM Lumut di sini kelmarin.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Hadir sama, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.
Kehadiran Hishammuddin untuk menyempurnakan majlis itu sememangnya dinanti-nantikan oleh warga Pangkalan TLDM Lumut dan semua warga Angkatan Tentera Malaysia(ATM) yang hadir pada majlis tersebut.
Majlis berbuka puasa Menteri Kanan Pertahanan dimulakan dengan sesi ramah mesra dan diikuti iftar bersama 157 kru kapal pengangkut serbaguna, KD MAHAWANGSA.
Setelah itu, acara diteruskan lagi dengan rakaman takbir Hari Raya Aidilfitri di geladak penerbangan kapal tersebut.
Acara diakhiri dengan majlis ramah mesra dan moreh bersama 700 warga Pangkalan TLDM Lumut di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM dan pertunjukan kawad senyap turut diadakan.
Hishamuddin turut melawat Zon KD Panglima Hitam, Zon Markas Udara TLDM, Zon Markas Selam dan Peperangan Periuk Api.
-Utusan Online

