MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bercadang memberi notis kepada umat Islam di negeri ini jika dikesan membawa rokok sebelum jam 2 petang sepanjang Ramadan ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata notis itu bukan untuk kompaun atau denda, sebaliknya satu cara berhemah bagi mengekang perbuatan menjurus kepada ponteng puasa.
“Selepas ini pendekatan kita, penguat kuasa operasi akan bagi notis kepada individu yang didapati membawa rokok untuk dia hadir ke pejabat JAIM.
“Tujuannya bukan mahu saman, sebaliknya hanya peringatan supaya perkara ini tidak berlaku lagi.
“Kita juga mungkin bersama Jabatan Kesihatan Negeri bagi menguatkuasakan pendekatan ini,” katanya kepada media selepas Operasi Plastik Hitam Bersendawa di sekitar daerah Melaka Tengah, hari ini.
Seramai 10 anggota penguat kuasa JAIM diketuai Che Sukri bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah terbabit operasi selama hampir dua jam itu yang menyasarkan lokasi panas ‘port’ kaki ponteng.
Che Sukri berkata, pendekatan berhemah itu bakal dilaksanakan selepas pihaknya mengesan ramai umat Islam membawa rokok dalam poket, namun mendakwa mereka berpuasa.
“Pelbagai alasan diberikan, namun tindakan mereka membawa rokok dan pemetik api sebelum jam 2 petang boleh menimbulkan syak dan wajar dielakkan,” katanya.
BHonline-