Georgetown : Sebuah tokong di Jalan Pokok Ceri Air Itam di sini, musnah terbakar dalam kejadian pada awal pagi tadi.
Difahamkan kejadian itu disedari pekerja kuari berhampiran sebelum membuat panggilan menerusi talian kecemasan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohamad Helmi Ismail berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan pada jam 1.25 pagi.
Katanya, operasi turut dibantu anggota dari BBP Jalan Perak dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran yang bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
“Ketika di lokasi didapati kebakaran membabitkan Tokong Gua Kelawar (Bats Cave Temple) dengan anggaran keluasan 20 x 100 kaki persegi.
“Anggota menghadapi sedikit kesukaran bagi memadamkan api berikutan kedudukan rumah ibadat itu yang terletak di kawasan kampung dan agak jauh daripada pili bomba,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohamad Ismail berkata, pasukan penyelamat mengambil masa selama 10 minit bagi mengawal dan memadamkan kebakaran daripada merebak.
“Kemusnahan dianggarkan sebanyak 90 peratus dan tiada kemalangan jiwa.
“Anggota melakukan proses baik pulih (overhaul) bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum operasi tamat pada jam 5.28 pagi,” katanya lagi.
Operasi turut membabitkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain PBS Bukit Bendera, PBS Paya Terubong, PBS Kampung Pisang dan PBS Bagan Ajam.
Difahamkan tokong lama itu dianggarkan berusia lebih 200 tahun dan unik berikutan ribuan kelawar tinggal di gua berhampiran rumah ibadat berkenaan.
-Harian Metro