KUALA LUMPUR : Polis memanggil Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy untuk dirakam keterangan di Bukit Aman, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata Ramasamy dipanggil jam 11 pagi ini, bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur provokatif di Facebook.
“Ya disahkan (Ramasamy) dipanggil pada jam 11 pagi,” katanya kepada BH, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita memetik Ramasamy sebagai berkata, beliau tiba di Kuala Lumpur, hari ini untuk memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan kenyataannya di Facebook.
Beliau turut ditemani peguam dan menyatakan tiada apa-apa yang mahu disembunyikan.
Media melaporkan polis menerima enam laporan berhubung kenyataan dimuat naik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu menerusi akaun Facebook pada 13 Februari lalu, yang dikatakan bersifat provokatif.
Hantaran itu dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Loh Siew Hong.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan Undang-Undang, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mohamad Zainal Abdullah, ketika dihubungi berkata, sebarang perkembangan lanjut mengenai siasatan kes itu akan dimaklumkan kemudian.
“Saya kena semak dahulu maklumat lain yang akan dikongsikan kemudian,” katanya.
-Berita Harian

