KYIV : Agensi perisikan Ukraine mendakwa sejumlah pegawai di Kremlin cuba meracuni Presiden Rusia, Vladimir Putin, sekali gus menyingkirkan beliau sebagai pemimpin negara tersebut.
Menurut Ketua Direktorat Perisikan di Kementerian Pertahanan Ukraine yang enggan mendedahkan identitinya, kumpulan elit Rusia sudah lama membuat rancangan itu bagi menggulingkan Putin.
Lapor Mirror, rancangan itu bertujuan menyekat penguasaan Puitn di Rusia dan memulihkan semula ikatan ekonomi negara berkenaan dengan Barat, terutamanya selepas dikenakan sekatan besar-besaran susulan peperangan di Ukraine.
Jabatan itu juga memaklumkan, ramai ‘orang kuat’ Rusia sebenarnya tidak bersetuju dengan keputusan Presiden Russia melancarkan perang di Ukraine kerana mereka perlu menanggung pelbagai akibat.
Selain itu, pengganti kepada Presiden Rusia itu juga sudah dipilih iaitu Ketua Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), Alexander Bortnikov.
“Berdasarkan perisikan yang dilakukan, Bortnikov dan beberapa ahli politik lain cuba menggulingkan kerajaan pimpinan beliau.
“Tidak mustahil jika Putin diracun untuk memberi ruang tempatnya diganti dengan orang lain,” jelas ketua direktorat tersebut.
Otak dan jantung
Pemilihan Bortnikov untuk menggantikan Putin adalah kerana beliau sering bekerjasama dengan Presiden Rusia itu dalam pelbagai sektor.
Kedua-duanya juga pernah menjadi ejen KGB, malah Bortnikov disifatkan sebagai ‘otak dan jantung’ dalam pentadbiran kerajaan Putin.
Selain itu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut mempersoalkan mengapa Israel tidak boleh menghantar sistem pertahanan peluru berpandu ke negara ini bagi menentang kemaraan tentera Rusia.
“Semua orang tahu sistem peluru berpandu anda (Israel) adalah yang terbaik dan sudah tentu anda mampu membantu rakyat Ukraine, terutamanya Yahudi Ukraine.
“Kami boleh tanya mengapa kami tidak mendapat sebarang tindak balas mengenai senjata dari Israel? Mengala Israel juga tidak kenakan sekatan berat terhadap Rusia? Soal Zelensky ketika melakukan panggilan video dengan Parlimen Israel.
Beliau menegaskan, sistem Iron Dome milik Israel sering digunakan untuk memintas roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas di Gaza.
“Walaubagaimanapun, pilihan terletak di tangan anda wahai saudara kami semua dan anda akan hidup dengan jawapan itu,” katanya.
Israel yang diwakili oleh Menteri Luarnya, Yair Lapid berkata, Israel sudah pun menghantar bantuan kemanusiaan dan hospital lapangan kepada Ukraine.
-Utusan Online