Iskandar Puteri : Langkah membuka sempadan dan membenarkan rakyat Malaysia di Singapura pulang tidak seharusnya dibuat semata-mata kerana tujuan politik sahaja.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata, pihaknya tidak mahu pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) seawal 1 Mac ini membebani rakyat.
Beliau berkata, pihaknya menyokong hasrat untuk membenarkan penduduk Malaysia di Singapura pulang, namun ia tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua negara kerana pihaknya tidak mahu menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
“Ia tidak seharusnya dibuat semata-mata kerana tujuan politik sahaja.
“Kerajaan Johor menyokong hasrat untuk membenarkan rakyat pulang ke tanah air tanpa keperluan kuarantin wajib, bagaimanapun ia tertakluk kepada persetujuan bersama antara kedua-dua negara.
“Kita tidak mahu susahkan rakyat atas sebab politik benarkan balik apabila mereka mahu pulang ke Singapura semula, isu lama pula timbul iaitu perlu menanggung kos kuarantin yang tinggi.
“Saya tidak fikir itu tindakan sesuai melainkan kerajaan buat keputusan sedia untuk membayar kos sekiranya mereka balik semula ke Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran Ruang Kerja Common Ground Iskandar Space di Medini 6, di sini, hari ini.
Setakat ini, kerajaan membenarkan 700 individu menggunakan laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) berbanding 1,500 penumpang yang dibenarkan menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin.
-Harian Metro

