KUALA LUMPUR : Kerajaan sedang dalam proses semakan dan kajian semula kadar bayaran gaji minimum, selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata ketika ini, kadar gaji minimum di Malaysia adalah RM1,200 sebulan di kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran, manakala bagi kawasan lain, sebanyak RM1,100, yang berkuat kuasa sejak 2020.
“Walaupun semakan kasar terhadap gaji minimum ini belum diputuskan dan dimuktamadkan kerajaan, terdapat majikan yang sudah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BH pada 5 Februari lalu, melaporkan Saravanan berkata, pihaknya positif kadar baharu gaji minimum sekitar RM1,500 boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, sebelum hujung tahun ini.
-Berita Harian