Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dalam waktu terdekat pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada Pengarah Perundangan dan Pendakwaan.
“Berhubung kes siasatan MARA, kita sudah 99 peratus menyiapkan siasatan dan akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
SPRM sebelum ini mengesahkan pihaknya memulakan siasatan terhadap MARA mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Khusairi berkata, siasatan kedua dilakukan pihaknya mengenai perbelanjaan peribadi dilakukan individu tertentu yang dikaitkan dalam penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp).
“Kita sedang semak adakah terdapat klausa tertentu dalam perbelanjaan menggunakan kad kredit itu. Adakah terdapat perbelanjaan untuk peribadi atau rasmi.
“Sekiranya ada klausa ‘bayar balik’ perbelanjaan itu juga kita akan semak, kita kena tengok, banyak isu daripada segi pentadbiran dan jenayah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Khusairi turut mengesahkan dua individu dipercayai pemilik entiti yang memperoleh geran penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan dituduh di dua mahkamah berasingan di Ipoh, Perak dan ibu negara, esok.
“Kita kemukakan kepada pihak Pengarah Perundangan dan Pendakwaan untuk tindakan seterusnya manakala dua individu akan dituduh esok di Ipoh dan Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, dalam MITRA 2.0, sebanyak 27 entiti termasuk syarikat, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) disiasat.
“Kita juga bentuk satu ‘taskforce’ (jawatankuasa bertindak) dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk meneliti baki 310 individu dan syarikat lain.
“Fokus siasatan kita, fasa satu dari 2019 hingga 2021 dengan peruntukan sebanyak RM203 juta menbabitkan 337 syarikat, individu dan NGO yang sudah menerima geran terbabit,” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai siasatan Kapal Tempur Pesisir (LCS), Ahmad Khusairi berkata, pihaknya sudah mengemukakan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) berkaitan hal ehwal jenayah bagi menjalankan siasatan di luar negara berhubung isu kontrak perolehan enam LCS.
Bagaimanapun, katanya, SPRM mengakui siasatan isu LCS sukar kerana ia membabitkan kes lama iaitu melebihi 10 tahun lalu.
“Kita buka tiga kertas siasatan berhubung kes ini dan siasatan masih berjalan namun ada kekangan yang berlaku.
“Usaha kita kini untuk mendapatkan dokumen kerana membabitkan beberapa syarikat dan entiti di luar negara dan perlu melalui prosedur dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, semua kaedah sudah dilakukan termasuk perjanjian bersama negara terbabit termasuk perisikan.
-Harian Metro