MELAKA: Penggunaan katil di tiga hospital kerajaan di negeri ini masih terkawal iaitu pada kadar antara 34 hingga 77 peratus ketika ini.
EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata daripada jumlah itu, Hospital Melaka mencatatkan kadar penggunaan katil sebanyak 77 peratus, diikuti Hospital Alor Gajah (34 peratus) dan Hospital Jasin (36 peratus).
Beliau berkata, jumlah itu sekali gus menafikan dakwaan sebuah portal milik kerajaan yang mendakwa kadar penggunaan katil di Hospital Melaka sudah mencecah 84 peratus.
“Kalau ikut purata, kadar penggunaan katil di Melaka sebelum ini adalah antara 75 ke 80 peratus. Tetapi kalau dikatakan kadar penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 hanya 27 peratus, bermakna hanya beberapa orang pesakit itu (COVID-19) yang dirawat di Hospital Melaka.
“Malah, penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) juga masih terkawal apabila hanya 50 peratus digunakan untuk menempatkan individu yang positif wabak itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tidak pasti bagaimana portal milik Kementerian Kesihatan (KKM) itu memperoleh maklumat yang menyatakan kadar penggunaan katil di Melaka mencecah 84 peratus.
“Di Melaka setakat ini masih terkawal dan Jabatan Kesihatan Negeri mampu untuk menangani masalah berkaitan dengan penggunaan katil ini.
“Diharap, masyarakat tidak panik dengan laporan portal itu dan merujuk terlebih dulu dengan Jabatan Kesihatan negeri sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan perkara itu,” katanya.
Portal https://covidnow.moh.gov.my, hari ini mendakwa Melaka di tempat teratas dengan kadar penggunaan katil di hospital mencecah 84 peratus, diikuti Kedah (78.9 peratus), Johor (77.5 peratus) dan Kelantan (76.9 peratus).
BHonline-

