WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kelmarin meluluskan permintaan kakitangan dan ahli keluarga mereka untuk meninggalkan konsulat AS di Almaty, Kazakhstan, susulan perintah darurat diisytiharkan di negara itu.
Jabatan Negara AS, dalam satu kenyataan, berkata rakyat AS di Kazakhstan harus sedar bahawa bantahan ganas boleh tercetus pada bila-bila masa.
“Ini akan memberi kesan sangat buruk kepada keupayaan Kedutaan AS untuk memberi bantuan kepada rakyat AS yang mahu meninggalkan Kazakhstan jika ia berlaku,” katanya.
Puluhan orang maut dan banyak bangunan awam di serata Kazakhstan diselongkar serta dibakar dalam keganasan paling buruk sejak negara bekas Kesatuan Soviet itu merdeka 30 tahun lalu.
Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, kelmarin menolak desakan untuk berunding dengan pihak penunjuk perasaan, selepas pergolakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini tercetus sejak beberapa hari lalu.
Sebaliknya, beliau berikrar menghapuskan ‘penyamun bersenjata’ dan memberikan kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menembak mati tanpa amaran.
okayev turut berterima kasih kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, selepas pakatan tentera diketuai Moscow menghantar pasukan ke Kazakhstan bagi membantu menangani krisis berkenaan.
Jurucakap bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stéphane Dujarric, berkata pihaknya sedang memantau secara dekat perkembangan di Kazakhstan.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi manusia, Michelle Bachelet, pula menggesa semua orang, termasuk pasukan keselamatan, penunjuk perasaan dan yang lain supaya mengelak bertindak ganas dan mencari jalan berdamai.
Kazakhstan kini berdepan krisis terbesar dalam tempoh beberapa dekad selepas sekian lama dilihat sebagai antara republik bekas Soviet yang paling stabil di Asia Tengah.
BHonline-

