PETALING JAYA – Terowong Lebuh Raya SMART mencatatkan rekod tersendiri apabila diaktifkan selama 22 jam bagi melencongkan air Sungai Klang yang naik susulan hujan lebat berterusan pada Sabtu lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, sepanjang tempoh berkenaan, terowong tersebut berjaya melencongkan lima juta meter padu air sejak diaktifkan pada 1.32 tengah hari 18 Disember sehingga 12 tengah hari 19 Disember.
Menurut Zaini, ia merupakan satu rekod baharu yang dicatatkan untuk kawalan lencongan melibatkan Terowong SMART kerana sejak 2007, sebanyak lapan kali lencongan dibuat dan di setiap operasi hanya rekodkan kira-kira tiga jam operasi.
“Bagi lencongan kali kesembilan ini, tempoh operasi selama kira-kira 22 jam disebabkan intensiti hujan yang sangat tinggi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
“Selain itu, berdasarkan perkiraan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), keadaan akan lebih teruk terutamanya melibatkan kawasan di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur seperti di Masjid Jamek sekiranya jumlah air tersebut tidak dilencongkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zaini, aset-aset JPS di sekitar Kuala Lumpur seperti rumah pam juga diaktifkan secara maksimum sejak Sabtu.
“Walaupun hujan lebat dan Empangan Batu melepaskan air dengan bukaan 300 milimeter atau 20 peratus pada pukul 11.15 pagi Sabtu, kawasan sekitar Kuala Lumpur hanya mengalami banjir-banjir kecil kerana tindakan segera yang dilakukan,” katanya.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), memaklumkan lima juta meter padu air sudah berjaya dilencongkan dari Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Kolam Takungan Taman Desa.
“Proses pengepaman keluar air ke hilir sungai masih belum dapat dijalankan kerana keadaan paras air sungai yang masih tinggi di bahagian hilir sistem SMART.
“SMART memohon pengguna agar bersabar dan memberi kerjasama mengenai pengumuman status operasi Terowong SMART yang akan disiarkan melalui penghebahan media dan papan maklumat elektronik (VMS),” katanya.
-Kosmo Online