PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan 10,000 tenaga kerja memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menjelang 2030.
Ia selari dengan kluster kelima Dasar Kebersihan Negara iaitu untuk Memperkasakan Modal Insan melalui strategi menambah baik produktiviti dan kualiti pekerja dengan latihan berterusan ke arah pekerja berkemahiran tinggi.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti dan memastikan pekerja dalam perkhidmatan berkenaan dapat melaksanakan perkhidmatan pembersihan berdasarkan standard dan prosedur ditetapkan.
Katanya, ia seterusnya dapat menarik lebih ramai warga tempatan menyertai sektor perkhidmatan berkenaan.
“Secara purata kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja am pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah warga asing dan persepsi masyarakat memandang bidang itu sebagai satu pekerjaan yang mempunyai ciri 3D iaitu berbahaya, kotor dan sukar.
“Sebagai agensi yang menerajui kebersihan negara, SWCorp mempunyai perancangan untuk menjadikan sektor pekerja pembersihan sebagai profesion berkemahiran tinggi melalui transformasi kemahiran, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan meningkatkan taraf sektor pekerjaan latihan.
“Pada masa ini, latihan dengan kerjasama tiga syarikat konsesi iaitu Environment Idaman Sdn Bhd (EISB), Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWMESB) serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) diberikan kepada pekerja pembersihan syarikat konsesi bawah SWCorp dan akan diperluas kepada semua pekerja pembersihan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian, pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen SwCorp Kali Pertama di Dewan De’ Sri Endon, Puspanitapuri Presint 10 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Zaihan Shukri, Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar.
Pada majlis itu, Ismail turut menyampaikan anugerah kepada 206 perantis Sijil Kemahiran Tinggi Tahap 2 dan 3 bagi program latihan kemahiran berkaitan kutipan sisa pepejal, pembersihan awam, rawatan dan pelupusan sisa pepejal.
Daripada jumlah itu seramai 118 graduan adalah perintis Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan 88 graduan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), manakala 17 perantis dalam kalangan pekerja sedia ada dari tiga syarikat konsesi perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam turut dianugerahkan Graduan Terbaik.
Ismail berkata, sejak penubuhan Pusat Bertauliah Solid Waste (SWTC) pada 2019, pusat latihan itu berjaya melatih seramai 349 perantis dalam kalangan pekerja syarikat konsesi dan swasta di bawah SWCorp.
Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 267 pelatih sudah tamat latihan, manakala 83 perantis masih mengikuti latihan dan dijangka tamat pada Januari 2022.
Katanya, hasrat SWCorp untuk melaksanakan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dalam bidang kemahiran berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam itu seharusnya disambut baik oleh semua pihak.
BHonline-

